Uri dalam rahim bongkar rahsia

PEMUDA dan kekasihnya ditahan bagi membantu siasatan kes buang janin ke dalam Sungai Kenawar, Pogoh, Segamat, hari ini.

 

Ketua Polis Segamat, Superintendan Raub Selamat, berkata mereka masing-masing 21 dan 19 tahun ditahan di Hospital Segamat, pada kira-kira 4 pagi, Jumaat.

 

Beliau berkata, mereka mulanya ke hospital itu bagi mendapatkan rawatan berikutan suspek wanita dikatakan mengalami pendarahan rahim.

 

Menurutnya, pemeriksaan doktor kemudianya mengesan ada uri tertinggal dalam rahim wanita itu.

 

Katanya, pasangan yang dilihat meragukan itu kemudian dirujuk kepada polis selepas rawatan selesai.

 

“Hasil soal siasat, suspek lelaki mengakui pasangannya melahirkan bayi tidak cukup bulan tanpa pengetahuan keluarganya di rumah keluarga di Paya Pulai.

 

“Gadis itu dipercayai melahirkan tanpa bantuan individu lain dan kemudian menyerahkannya kepada kekasihnya tanpa pengetahuan sesiapa,” katanya.

 

Raub berkata, pemuda itu juga mengakui memasukkan janin ke dalam beg plastik kuning dan membuangnya ke dalam sungai itu pada 12.15 tengah malam Jumaat.

 

Bagaimanapun, katanya, pasangan itu terpaksa ke hospital apabila gadis berkenaan mengalami pendarahan.

 

Katanya, suspek lelaki mengaku menjalin hubungan intim dengan pasangannya itu.

 

“Hasil siasatan di tempat kejadian, polis menemui bungkusan mengandungi janin terapung di sungai itu.

 

“Janin berkenaan yang tidak dapat dipasti jantina dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Segamat,” katanya.

 

Raub berkata, suspek lelaki yang bekerja di kedai menjual alat ganti kenderaan di Segamat dan pasangannya direman empat hari.

 

Katanya, mereka direman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi

 

sumber : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *