JDT mudah benam MU

PENYERANG JDT, Jorge Pereyra Diaz (kanan) dikekang oleh pemain Melaka United, Steven Gary Harvey Thicot (kiri) pada aksi Liga Super 2018 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos. – Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) melonjak ke tangga teratas liga selepas mudah meratah Melaka United (MU) 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

 

Bagaimanapun, kedudukan JDT mungkin seketika tatkala pertembungan PKNS FC yang melayani kunjungan Kedah di Stadium Shah Alam, malam esok bakal mengubah posisi liga seandai skuad kendalian Datuk K Rajagobal mampu menjinakkkan anak didik Ramon Marcote.

 

Seawal minit kelapan, pelawat mencemaskan gawang tuan rumah apabila kesilapan penjaga gol, Farizal Marlias dan Fadhli Shas memberi peluang buat Yahor Zubovich mencipta gol selepas menyambar bola namun tersasar daripada gawang gol.

 

Menerusi sepakan sudut kapten Safiq Rahim pada minit ke-12 menyaksikan Luciano Figueroa melonjak tinggi di celah barisan pertahanan lawan untuk menanduk bola menewaskan penjaga gol MU, Zamir Selamat.

 

Tersentak dengan jaringan itu, anak didik Eduardo Almeida memperkemaskan serangan dan pada minit ke-16 berpunca sepakan percuma Shahdan Sulaiman nyaris untuk Jeon Woo-young yang tidak dikawal mencipta gol penyamaan namun tandukannya sedikit melepasi palang gol.

 

Tuan rumah terus menambah derita pelawat pada minit ke-21 selepas bola umpanan Figueroa tepat kepada Jorge Pereyra Diaz yang merembat kencang dari luar kotak penalti memerangkap Zamir untuk memastikan JDT selesa dengan kedudukan 2-0.

 

Anak didik Almeida terus dimalukan skuad kendalian Ulisses Morais selepas Natxo Insa yang tidak dikawal pada minit ke-35 merembat bola leret tepat ke penjuru kanan menewaskan Zamir.

 

Skuad Harimau Selatan terus mendominasi perlawanan pada babak kedua tatkala menyusun gerakan menarik yang mengundang resah di benteng pelawat malah gandingan Pereyra Diaz dan Figueroa sering memberi tekanan dalam usaha menambah jaringan.

 

Insa hampir mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-86 namun bola sepakan lencong tatkala berada di dalam kotak penalti sempat dikuis Zamir dan kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

 

Sumber : Berita Harian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *