Kes mesin potong rumput: Lelaki hadapi tiga pertuduhan

GEMAS – Pemandu traktor insiden pelajar perempuan tingkatan dua maut terkena bilah mesin potong rumput bakal dihadapkan atas tiga pertuduhan berhubung insiden berkenaan.

 

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak berkata, pemandu berusia 26 tahun berasal dari Tanjung Keling, Melaka, itu menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan dengan kecuaian menyebabkan kematian si mati.

 

Manakala menurutnya, dua pertuduhan lagi di bawah Seksyen 337KK dengan perbuatan cuai menyebabkan kecederaan.

 

“Selain itu, kita turut telah menerima analisa DNA daripada Jabatan Kimia pada bilah pisau yang ditemui yang mempunyai DNA mangsa.

 

“Tarikh pertuduhan bakal dirujuk kepada Ketua Unit Pendakwaan pada minggu depan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, 13 Februari lalu itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman (STAR) Gemas, Nur Afini Roslan, 14, disahkan maut oleh pasukan paramedik selepas bilah mesin potong rumput terbang mengenai kepalanya.

 

Selain seorang pelajar perempuan maut, dua lagi pelajar lelaki mengalami kecederaan, Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, iaitu cedera di bahagian belakang kepala dan Abdullah Hazlan, 14, cedera pada bahagian telinga kanan.

 

Kedua-duanya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Gemas berhampiran bagi rawatan lanjut dan kemudiannya di hantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) sebelum dirawat sebagai pesakit luar.

 

Sumber : Sinar Harian Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *